Salam Sejahtera pada para pelawat


ALLAH berfirman yang bermaksud: "(Orang yang bertakwa itu adalah) orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat dan membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"(Surah Al-Baqarah, Ayat 3).

Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya.
Allah SWT memerintahkan manusia mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah dan khasiat yang di dalamnya. Dengan taufik dan hidayahNya, manusia mampu berfikir dan mendapat petunjuk dalam usaha menerokai khazanah Allah SWT lalu menemui pelbagai rahsia sang Maha Pencipta.
Kesemua ciptaan Allah SWT hanyalah merupakan perantaraan semata. Allah SWT jualah yang berkuasa mutlaq atas segalanya. YAKIN dan berserah kepada Allah SWT selayaknya. PERCAYA dan terokailah akan ciptaanNya yang mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihannya.
Blog ini ditulis sekadar berkongsi pengalaman saya sendiri menjaga isteri yang disihir, terpulang pada individu untuk mempercayainya. Pada mereka yang terkena, saya faham perasaan anda. Mencari jalan untuk menyembuhkan serta berjumpa bermacam-macam perawat dimana kita sendiri tidak pasti menggunakan rawatan yang betul,samada menggunakan ilmu 'putih @ hitam'..Itulah dunia mistik, jika elok maka putih la...jika sebaliknya anda sendiri akan mengetahuinya....
Jika anda ada pengalaman, cerita, gambar atau video mistik boleh dikongsikan bersama sekadar untuk renungan dan peringatan pada semua. M
atlamat utama kepercayaan terhadap perkara ghaib ialah untuk menguji keimanan setiap Muslim ke hadrat Ilahi. Rukun iman yang menjadi pegangan setiap Muslim berasaskan kepada perkara ghaib bermula dari beriman kepada Allah hinggalah beriman terhadap qada dan qadar Allah.

Saturday, June 16, 2012

Khurafat & Syirik-Adat Masyarakat Melayu

Tanam Uri



Biar mati anak jangan mati adat. Itulah pepatah sering digunakan nenek atau emak kita apabila berbicara mengenai sesuatu perkara melibatkan adat diamalkan. Bagi masyarakat Melayu, adat menjadi antara pegangan hidup mereka sehingga sanggup mengetepikan darah daging daripada adat.

Adat sebenarnya tidaklah salah diamalkan, tetapi janganlah sehingga perkara karut mengarut dan lari daripada landasan agama mahu terus diamalkan. Jika diteruskan juga amalan dan kepercayaan itu boleh jatuh kepada khurafat serta syirik.

Penceramah bebas, Haslin Baharin berkata, dalam masyarakat Melayu terdapat adat tertentu misalnya lenggang perut, cukur jambul, naik buai sehinggalah ketika tanam uri.

Menurutnya, dalam Islam tidak dinyatakan semua adat berkenaan yang perlu diamalkan selain apa yang termaktub dalam al-Quran dan sunah.

“Adat adalah amalan daripada nenek moyang terdahulu berkaitan dengan budaya masyarakat lain seperti India yang dibawa ke negara ini dan mula diamalkan masyarakat Melayu.

"Apabila ia menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat tersebut, maka untuk membuangnya bukanlah perkara mudah. Ada kalanya, amalan tersebut mendatangkan pergaduhan,” katanya pada Forum Perdana Amalan Syirik dan Khurafat Dalam Konteks Adat Masyarakat Melayu baru-baru ini.


Isu tanam uri

HASLIN berkata, antara situasi sering berlaku dan boleh menyumbang kepada khurafat adalah kaedah menguruskan uri yang keluar bersama bayi ketika saat kelahiran untuk ditanam.

“Contoh amalan pelik menanam uri bayi yang masih diamalkan dalam masyarakat ialah menanam uri bersama pensel dan buku serta meletakkan paku dan benda tajam bersama uri yang ditanam, kononnya untuk mengelakkan uri tersebut didekati ‘benda-benda halus’.

“Selain itu, ada juga perbuatan memasang pelita berhampiran tempat tanam uri kerana bimbangkan ‘kembar bayi’ itu kesejukan pada waktu malam. Oleh itu amalan menanam uri bayi
dengan lada hitam, paku dan sebagainya adalah amalan khurafat dan syirik,” katanya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH tiada mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya.

Sesiapa yang mempersekutukan ALLAH, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (Surah An-Nisa’: 48). Haslin berkata, sebenarnya hukum menanam uri bayi adalah harus kerana uri tersebut perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.

“Uri orang Islam juga suci justeru tidak boleh dibakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan anak di hospital dikehendaki membawa balik uri itu untuk ditanam di tempat masing-masing.

“Merujuk kepada amalan sesetengah masyarakat yang membasuh uri tersebut terlebih dahulu dengan asam keping dan garam, saya berpendapat ia harus bagi menghilangkan bau pada uri tersebut,” katanya.

Haslin berkata, satu lagi permasalahan sering dihadapi masyarakat Melayu mengenai upacara dijalankan ketika majlis cukur jambul yang kebiasaannya diadakan sempena menyambut
kehadiran orang baru dalam keluarga.

“Berpandukan syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad SAW. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada  masyarakat India yang beragama Hindu.

“Dalam Islam hanya ada istilah mencukur rambut dan ia digalakkan sehingga botak supaya segala kekotoranyang keluar daripada rahim dapat dibuang dan membolehkan rambut
baru tumbuh dengan sihat,” katanya.


Sunah Rasulullah

MENGIKUT sunah kata Haslin, apa yang dilakukan Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua.

Rambut tersebut ditimbang dan disamakan dengan nilai perak dan kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin.

“Bagaimanapun, ulama hari ini menyatakan, emas boleh digunakan bagi menggantikan perak. Sebahagian masyarakat Islam hari ini tidak mencukur rambut anak hingga botak.

“Sebaliknya mengadakan upacara cukur jambul hanyalah sebagai adat dan tradisi yang dilakukan sejak turun-temurun. Tambah mengelirukan, rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam buah kelapa,” katanya.

Justeru, katanya, memandangkan terdapat beberapa perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, maka ulama berpendapat, mengamalkan adat cukur jambul adalah bidaah dan khurafat. Paling menyedihkan apabila terdapat segelintir umat Islam yang cuba menghidupkan kembali kepercayaan seperti ini.

“Upacara cukur rambut juga tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.

“Oleh itu, masyarakat Islam harus faham bahawa sesuatu amalan yang dilakukan sama ada yang sudah menjadi tradisi dan kebiasaan tanpa bersumberkan nas atau dalil yang sah perlu ditolak. Apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan kepercayaan dan tradisi agama lain,” katanya.

Kebanyakan amalan yang dijadikan adat bagi orang Melayu dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang sekian lama diamalkan di negara ini.

Berpandukan kepada sejarah, sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, penduduk asal negara ini ketika itu menganut agama Hindu.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Like & Share with us