Kamus dewan merujuk ‘hypnotism’ sebagai memukau atau terpukau, sama
juga dengan ‘hypnotic’ yang disebut sebagai renungan yang memukau.
Umum
mengetahui bahawa ‘hypnotism’ ada suatu teknik penguasaan diri sendiri
melalui beberapa latihan kerohanian dan teknik memandang ke arah sesuatu
perkara atau objek termasuk manusia.
Dikatakan boleh berlaku
dengan pancaran kekuatan dalaman orang yang mengamalkan ‘hypnotism’ ini,
boleh mendatangkan suatu tenaga khusus baginya untuk menguasai orang
lain.
Ia termasuk menidurkan orang yang sedang sedar atau
menguasai fikiran orang itu dengan tenungan dan kadang-kadang dengan
hembusan. Teknik hembusan juga termasuk dalam salah satu cabang ilmu
sihir dengan kekuatan kuasa hembusan yang dikaitkan dengan asosiasi
(perhubungan) dengan makhluk halus, maka berlaku penguasaan sepenuhnya
atau sebahagian ke atas seseorang.
Amalan menggunakan pandangan
mata sehingga berlaku suatu proses pukau, jika dilihat pada pandangan
syarak, kita dapati bahawa ada isyarahnya dalam as-Sunnah.
Antara lain Rasulullah s.a.w. ada menyebut tentang pandangan mata seperti dalam hadis (mafhumnya):
Ibnu
Abbas r.a berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Bahawa pandangan mata
yang mengakibatkan sesuatu keburukan adalah benar (boleh berlaku).
Andainya ada sesuatu yang seolah-olah mendahului al-Qadar, maka
didahului oleh pandangan mata.”
Dalam hadis lain Abu Hurairah
berkata (mafhumnya): “Nabi pernah menyebut al-‘ain (pandangan mata)
adalah benar (boleh berlaku).” (Sahih Bukhari Muslim)
A1-Hafiz
Ibnu Hajar dalam ulasannya tentang hadis-hadis ini menyebut bahawa
pandangan mata seseorang itu ke atas sesuatu, boleh mendatangkan hasad
dengki kepadanya, lalu ditemukan objek itu di samping tabiat buruknya
muncul, boleh mendapat kemudaratan kepada yang dilihat.
Ash-Syanthiti pernah menyebut bahawa, jiwa-jiwa yang kotor mempunyai kesan yang kotor juga kepada yang dilihat.
Semuanya ini selari dengan apa yang disebut oleh Allah SWT yang mafhumnya:
“Dan
sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan
kamu dengan pandangan mereka tatkala mereka mendengar al-Quran dan
mereka berkata: “Sesungguhnya (Muhammad) itu benar-benar gila.” (Surah
al-Qalam, ayat 51)
Ayat ini menjadi rujukan kepada hal-hal penyakit
yang berpunca daripada pandangan atau renungan mata. Malah dalam
beberapa hadis lain mengatakan ‘unta boleh masuk ke dalam periuk kerana
pandangan mata’. Maksudnya unta boleh mati, tapi disembelih dan
dijadikan hidangan makanan.
Demikian peranan mata. Oleh itu
hal-hal pukau memukau mi, termasuk dalam amalan yang tidak diharuskan
oleh syarak. Lagipun digunakan ilmu pukau untuk tujuan keburukan seperti
merompak, mencuri dan sebagainya.
Sememangnya apabila berlaku
sesuatu yang tidak baik, ada pencegahnya. Disebut dalam perubatan,
sebagai vaksin. Saya sendiri tidak pasti apakah dengan membela ikan
boleh menghalang atau menghadang dari berlakunya pemukauan.
Pada
pemerhatian saya, apa yang berlaku, ada rumah yang membela ikan,
dimasuki pencuri dan tuannya sedar. Ada pemilik sebuah kedai ikan
(kenalan saya), menjual ikan-ikan hiasan di rumah termasuk ikan kelisa,
dicuri orang dalam keadaan beliau dan pekerjanya sedar, tetapi dicuri di
hadapan mata.
Sukar untuk dipercayai, sekadar membela ikan boleh
menghindari kejadian seperti itu. Bagaimanapun untuk menghindarinya,
lebih baik kita rujuk kepada amalan-amalan sunnah.
Seperti yang
pernah disebut Nabi (mafhumnya), bahawa sesiapa yang memakan tujuh biji
ajwah (tamar madinah), maka dia tidak akan terkena sihir.
Kesimpulannya untuk menghindarkan diri dari sihir atau ilmu pukau, lakukan amalan berikut setiap hari;
1. Baca doa berikut:
“Dengan nama Allah, tidak akan berlaku kemudaratan di samping nama-Nya itu, sesuatu yang turun dari langit atau dari bumi, dan Dialah Allah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
2. Ayatul Kursi
3. Al-Muawwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq & an-Naas)
4. Berniat lakukan amalan di atas agar Allah hindarkan dari apa jua bahaya.
Inilah amalan yang diterima oleh syarak.
Waalahu a’lam.
Sumber : Petikan dari Harakah Bil.1334
No comments:
Post a Comment