Salam Sejahtera pada para pelawat


ALLAH berfirman yang bermaksud: "(Orang yang bertakwa itu adalah) orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat dan membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"(Surah Al-Baqarah, Ayat 3).

Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya.
Allah SWT memerintahkan manusia mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah dan khasiat yang di dalamnya. Dengan taufik dan hidayahNya, manusia mampu berfikir dan mendapat petunjuk dalam usaha menerokai khazanah Allah SWT lalu menemui pelbagai rahsia sang Maha Pencipta.
Kesemua ciptaan Allah SWT hanyalah merupakan perantaraan semata. Allah SWT jualah yang berkuasa mutlaq atas segalanya. YAKIN dan berserah kepada Allah SWT selayaknya. PERCAYA dan terokailah akan ciptaanNya yang mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihannya.
Blog ini ditulis sekadar berkongsi pengalaman saya sendiri menjaga isteri yang disihir, terpulang pada individu untuk mempercayainya. Pada mereka yang terkena, saya faham perasaan anda. Mencari jalan untuk menyembuhkan serta berjumpa bermacam-macam perawat dimana kita sendiri tidak pasti menggunakan rawatan yang betul,samada menggunakan ilmu 'putih @ hitam'..Itulah dunia mistik, jika elok maka putih la...jika sebaliknya anda sendiri akan mengetahuinya....
Jika anda ada pengalaman, cerita, gambar atau video mistik boleh dikongsikan bersama sekadar untuk renungan dan peringatan pada semua. M
atlamat utama kepercayaan terhadap perkara ghaib ialah untuk menguji keimanan setiap Muslim ke hadrat Ilahi. Rukun iman yang menjadi pegangan setiap Muslim berasaskan kepada perkara ghaib bermula dari beriman kepada Allah hinggalah beriman terhadap qada dan qadar Allah.

Wednesday, June 27, 2012

Ilmu Ladunni


Malam ini, kita berkongsi tentang Ilmu Ladunni, pasti ramai yang tidak mengetahui dan tidak memahami serta mengerti tentang ilmu tersebut. Seperti kita baca Al-Fatihah dalam solat, hanya baca barisan ayat tetapi tidak memahami dan mengerti maksud ayat tersebut. Jadi bagaimana Allah ingin membuka rahsia ilmuNya. Jadi hari ini saya berkongsi bersama pembaca semua dari artikel yang menjelaskan ilmu Ladunni.

Ilmu Ladunni adalah pancaran nur Allah kepada hati seseorang. Ia adalah ilmu yang dianugerah Allah kepada hambanya yang bertakwa dan beramal dengan ilmu yang dipelajarinya dari al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.. Oleh kerana ia adalah pemberian Allah, maka tidaklah perlu dipelajari, sebaliknya ia merupakan hasil dari amalan dan taqarrub kita kepada Allah. Firman Allah;

وَاتَّقُواْ اللّهَ وَيُعَلِّمُكُمُ اللّهُ وَاللّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

“Dan bertakwalah kepada Allah, nescaya Allah akan memberi ilmu kepada kamu. Allah adalah maha mengetahui tentang segala sesuatu”. (al-Baqarah, ayat 282)

Ada riwayat dari Nabi s.a.w. menyebutkan;

من عمل بما علم ورثه الله علم ما لم يعلم

“Sesiapa beramal dengan ilmu yang ia tahu, nescaya Allah akan wariskan kepadanya ilmu tentang apa yang ia tidak tahu” (Riwayat Abu Nu’aim dalam al-Hilyah dari Anas r.a.. Menurut Abu Nu’aim, hadis ini dhaif. Lihat; Takhrij Hadis al-Ihya’ oleh Imam al-‘Iraqi).

Menurut Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah, ilmu ada dua jenis;[1]

1. Ilmu Jali (ilmu yang nampak); iaitu ilmu yang terhasil melalui penglihatan, pendengaran (yakni mendengar perkhabaran yang benar) dan akal.

2. Ilmu Khafi (ilmu yang tidak nampak); iaitu ilmu yang tumbuh dalam hati yang suci iaitu hati orang yang bersih dirinya kerana taat kepada Allah dan membesar atas rezki yang halal.

Ilmu Ladunni akan membawa seseorang untuk lebih mengetahui tentang Allah, rahsia diri, hakikat penciptaan dan jalan-jalan taqarrub kepada Allah dan halangan-halangannya. Berkata Imam al-Munawi; ilmu Ladunni ialah anugerah dari Allah yang dengannya hamba akan mengetahui kehendak diri dan kehendak Allah, lalu ia meninggalkan kehendak dirinya untuk melaksanakan kehendak Allah. Sebahagian ulamak berkata; Ilmu Ladunni ialah ilham dari Allah kepada seorang hamba untuk lebih mengenali Allah, tipuan diri dan syaitan, tipu-daya dunia, perkara-perkara yang merosakkan amal (seperti riya’, ujub dan takbur), latihan jiwa dan asuhan terhadapnya, kesabaran berhadapan dengan qadha Allah, mensyukuri nikmatnya, keyakinan terhadap janji Allah, tawakal kepadaNya dan sanggup menghadapi kesakitan dari makhluk Allah.[2]

Bukan sahaja ilmu, malah anugerah-anugerah yang lain juga akan dikurniakan Allah kepada hamba-hambaNya yang bertakwa, antaranya dibukakan jalan pengelesaian bagi setiap masalah dan dilapangkan pintu rezki. Firman Allah;

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً ، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya (bagi setiap masalah yang dihadapinya). Dan Dia akan memberinya rezki dari arah yang tidak disangka-sangkanya” (at-Talaq, ayat 2 dan 3).

Jadi, yang utama bukanlah ilmu ladunni itu, tetapi amalan dan ketakwaan kita kepada Allah. Dari amal dan takwa akan datang ilmu ladunni. Jika seseorang itu tidak beramal dan tidak bertakwa, mustahil ia akan mendapat ilmu dari Allah. Apa yang kita bimbangkan ialah seorang itu merasakan ia mendapat ilmu ladunni, namun sebenarnya bukan ilmu ladunni, tepai ilmu dari syaitan atau iblis yang menambahkan kesombongan diri dan perasaan diri hebat. Biasanya orang soleh tidak akan memberitahu kepada orang lain bahawa ia mendapat ilmu ladunni, namun tanda kewujudan ilmu itu pada dirinya disedari oleh anak-anak muridnya atau oleh orang lain yang bergaul dengannya. Adakalanya ia sendiri tidak menyedari kewujudannya dan hanya disedari oleh orang lain. Halnya sama seperti karamah para ulamak dan auliyak. Ramai para ulamak dan auliyak yang tidak menyedari karamah yang ada pada mereka, hanya disedari oleh orang lain yang bergaul dengan mereka. Sebaliknya ramai orang-orang fasik mendakwa memiliki karamah, namun sebenarnya bukan karamah, akan tetapi sihir, istidraj atau sebagainya yang datang dari iblis dan syaitan.


P/S : Ilmu laduni adalah pemberian Allah SWT.Cuma kadang kadang ilmu laduni ini tidak boleh diceritakan kerana kefahaman dan pengetahuan bagi pihak pendengar akan mengatakan engkau adalah seorang yang menimbulkan fitnah. Kalau hendak mengenal Allah Taala. berzikirlah dengan menyebut nama Allah tanpa henti di dalam hati....nescaya anda akan melihat Allah. Itu pun atas keizinannya juga. Amalkan.

No comments:

Post a Comment

Like & Share with us