AMALAN menggunakan sihir atau ilmu hitam kepada seseorang kerana
tidak berpuas hati melihat kebahagiaan mereka sering terjadi di kalangan
masyarakat Melayu.
Antara tujuan sihir dilakukan adalah untuk memisahkan hubungan suami
isteri dengan menimbulkan perasaan marah dan benci antara kedua-duanya.
Suryani (bukan nama sebenar), 45, tidak pernah berdendam mahupun
bergaduh dengan jiran dan saudaranya, tetapi kerana terdapat manusia
yang iri hati melihat kebahagiaan yang dimilikinya, mereka sekeluarga
telah dibomohkan sehingga hari ini.
Sihir yang dikenakan kepadanya dan keluarga tidak langsung melemahkan
diri malah menguatkan lagi hubungannya dengan sang pencipta.
Walaupun mereka sekeluarga dibomohkan, tetapi hidup mereka bahagia dan menerima dugaan itu sebagai ketentuan daripada Ilahi.
Bercerita lanjut pengalamannya dibomohkan, mereka sekeluarga terkena
sihir sejak 10 tahun lalu. Akibat perbuatan itu menyebabkan perkahwinan
anak perempuannya musnah dan tidak dapat diselamatkan.
“Hasil perkahwinan anak saya selama enam tahun telah dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki yang comel.
“Ilmu sihir yang digunakan itu terlalu kuat, mereka telah bercerai
dan berpisah kerana masing-masing tidak lagi mempunyai persefahaman dan
sukar untuk meneruskan hubungan tersebut.
“Apabila mereka bersua muka akan berlaku pergaduhan dan menyebabkan
kedua-duanya bermasam muka walaupun hanya disebabkan perkara kecil,"
katanya.
Ujarnya, kerana masing-masing tidak lagi mempunyai persefahaman,
mereka telah mengambil keputusan untuk berpisah selain faktor percaya
bahawa perpisahan yang berlaku adalah ketentuan dari Allah.
Jelas beliau, bukan anaknya sahaja yang terkena sihir, malah dia juga
tidak menyedari sihir itu juga telah meresap ke dalam dirinya.
“Saya mula menyedarinya apabila mendapat petanda mimpi didatangi dua
orang perempuan yang tidak dikenali ke rumah. Dalam mimpi itu, mereka
telah meniup muka saya dan memberi dua biji batu.
“Sebulan selepas itu, sebahagian badan dan muka terasa gatal dan
bengkak. Setelah berjumpa doktor saya didapati tidak sakit dan doktor
menyarankan supaya saya berubat secara tradisional," katanya.
Ujarnya, setelah berubat secara tradisional dengan seorang ustaz, beliau diberitahu telah dibomohkan oleh saudara terdekatnya.
“Selain sakit pada badan, ustaz juga memberitahu bahawa sihir itu
dilakukan melalui calitan minyak ‘pelesit’ yang diletakkan pada bahagian
dinding dan bilik di rumah mereka.
“Pada permulaan, saya tidak percaya dan sukar untuk menerima berita
bahawa saya di sihir. Ditakuti kalau mempercayai perkara sebegitu akan
berlaku syirik kepada Allah dan hukumnya berdosa besar," katanya.
Katanya, ketika terkena sihir tersebut, berlaku sedikit ketegangan
hubungan antara beliau dan suami. Jika bertemu mereka terasa ingin
bergaduh sahaja.
“Kerana tahu saya telah disihir, kami sentiasa berusaha mengingati
Allah dan mengamalkan zikir dan ayat-ayat suci bertujuan melemahkan
sihir yang meresap dalam badan," katanya.
Ujarnya lagi, dia sedikit terkilan kerana orang yang melakukan sihir
kepada mereka sekeluarga adalah di kalangan saudara terdekat.
“Saya tidak rasa saudara itu saya menaruh perasaan dengki kepada kami
kerana setiap kali berjumpa dia nampak mesra dan sentiasa berkunjung ke
rumah.
“Setelah diselidiki mendapati tujuan dia melakukan sihir kepada kami
adalah kerana cemburu melihat kejayaan anak-anak dan keluarga kami yang
bahagia," katanya.
Tambahnya, beliau tidak sepatutnya cemburu melihat semua empat orang
anak saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan mendapat
pekerjaan yang baik kerana itu adalah rezeki dari Allah.
“Selain itu, dia juga tidak dapat melihat kemesraan yang terjalin antara bapa mertua dengan saya dan anak-anak," katanya.
Katanya, sehingga hari ini mereka masih meneruskan rawatan
tradisional dan berjumpa dengan ustaz yang berkebolehan untuk mencegah
daripada terus berulang lagi.
Kesan dari pengalaman tersebut, Suryani hanya mampu berdoa semoga
orang yang menyihir mereka sekeluarga menyedari kesilapan itu dan
kembali bertaubat atas perbuatan yang dilakukan.
Sumber : Utusan Malaysia 13/06/2012
No comments:
Post a Comment