Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital.
Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima
panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk
menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar
bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.
Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik
berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya
putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.
Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar
menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun
apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya
terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak
berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik
berlalu, wajah jenazah semakin hitam.
Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika
itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya,tetapi
hitam seperti terbakar. Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk
termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan
timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah
pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan
muncul di fikiran saya.
Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita
berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula
wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00
pagi. Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri
di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.” Ustaz,”
kata wanita itu. “Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah
seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya.” kata
wanita berkenaan dengan lembut.
Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya,namun saya membawa juga
wanita itu ke tempat jenazah tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain
penutup wajahnya. “Betulkah ini mayat anak mak cik?”tanya saya. “Mak
cik rasa betul… tapi kulitnya putih.” “Makcik lihatlah betul-betul.”
kata saya. Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu
yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup
mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar
dari bilik mayat.
Tiba di luar saya bertanya kepadanya. “Mak cik, ceritakanlah kepada
saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi
hitam?” tanya saya. Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis
teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab.
Dia seperti menyembunyikan sesuatu.”Baiklah, kalau mak cik tidak mahu
beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. ” kata saya
untuk menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu
membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, “Ustaz, anak
saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di
waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan
buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik.
Tapi…” tambah wanita itu lagi “apabila makcik kejutkan dia untuk bangun
sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia,
suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi
kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,anak makcik ini akan terus
naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan.” kata wanita tersebut.
Jawapannya itu memeranjatkan saya.
Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak
sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah
yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya,
malah diaibkan dengan warna yang hitam.Selepas menceritakan perangai
anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.Dia berjalan dengan
pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya pun
memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.
Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik
secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di
Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Selang dua tiga
hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi
waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon yang diberikan oleh
Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang
agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan diri, saya
berkata, “Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital
seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan
keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih
dekat dengan Klang.”
Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, “Orang tua mana pula?”
katanya. Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk
badannya, wajahnya,tuturannya serta pakaiannya. “Kalau wanita itu yang
ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya, tapi…. emaknya dah
meninggal lima tahun lalu!” Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak
dikatakan lagi. Jadi ‘apakah’ yang datang menemui saya pagi itu? Walau
siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah
‘sesuatu’ yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya
telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam.
Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar
dalam ingatan saya.
Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa
jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia
akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan
yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu
tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun? Wallahua’lam
P/s: Semoga dapat dijadikan iktibar kepada kita semua,InsyaAllah
No comments:
Post a Comment