Salam Sejahtera pada para pelawat


ALLAH berfirman yang bermaksud: "(Orang yang bertakwa itu adalah) orang yang beriman kepada perkara ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat dan membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka,"(Surah Al-Baqarah, Ayat 3).

Segala puji tertentu bagi Allah, Allah SWT yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad dan keluarga baginda serta sahabatnya.
Allah SWT memerintahkan manusia mencari dan mengkaji bagi mengetahui hikmah dan khasiat yang di dalamnya. Dengan taufik dan hidayahNya, manusia mampu berfikir dan mendapat petunjuk dalam usaha menerokai khazanah Allah SWT lalu menemui pelbagai rahsia sang Maha Pencipta.
Kesemua ciptaan Allah SWT hanyalah merupakan perantaraan semata. Allah SWT jualah yang berkuasa mutlaq atas segalanya. YAKIN dan berserah kepada Allah SWT selayaknya. PERCAYA dan terokailah akan ciptaanNya yang mempunyai pelbagai rahsia dan kelebihannya.
Blog ini ditulis sekadar berkongsi pengalaman saya sendiri menjaga isteri yang disihir, terpulang pada individu untuk mempercayainya. Pada mereka yang terkena, saya faham perasaan anda. Mencari jalan untuk menyembuhkan serta berjumpa bermacam-macam perawat dimana kita sendiri tidak pasti menggunakan rawatan yang betul,samada menggunakan ilmu 'putih @ hitam'..Itulah dunia mistik, jika elok maka putih la...jika sebaliknya anda sendiri akan mengetahuinya....
Jika anda ada pengalaman, cerita, gambar atau video mistik boleh dikongsikan bersama sekadar untuk renungan dan peringatan pada semua. M
atlamat utama kepercayaan terhadap perkara ghaib ialah untuk menguji keimanan setiap Muslim ke hadrat Ilahi. Rukun iman yang menjadi pegangan setiap Muslim berasaskan kepada perkara ghaib bermula dari beriman kepada Allah hinggalah beriman terhadap qada dan qadar Allah.

Sunday, July 15, 2012

Busung 60 Bulan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjzmbEdJ9bYx9l9BMwjAvkyDXdb7Wt5ce76Qu4tR72OCM1i8cIsCLngljVKAEdaKf9rbmcszt663Nj6NqQxV4jT7UKUhInOa6o-hvgnBcFyZtNZUC9vb4Liyq2FIL1scKh_kyQQX-Vdr-I/s400/busung.jpg 

Jika dilihat dari segi fizikalnya, pasti ramai yang beranggapan dia hamil tujuh bulan dan bakal melahirkan anak. Ternyata itulah pandangan masyarakat apabila pertama kali bertemu dengan Nur, 44. 

Setiap kali ditanya, pasti dia akan mengiakan sahaja pandangan orang yang menganggap dirinya hamil kerana malas membuka cerita tentang apa sebenarnya yang berlaku.

Setiap pelanggan yang datang ke kedai runcitnya menyangka Nur hamil disebabkan keadaan perutnya itu. 

Pada mulanya, dia ada juga menjelaskan punca dia jadi begitu tetapi lama-kelamaan dia malas bercerita kerana tidak semua orang faham akan situasi yang dialaminya.

Mengulas lanjut, Nur berkata, ada yang mengatakan dia terkena buatan orang yang menyebabkannya perutnya membesar seperti wanita hamil atau lebih dikenali sebagai busung.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa kerana tiada bukti untuk saya berbuat demikian. 

“Penyakit saya mula serius sejak lima tahun lepas atau 60 bulan lalu. Ia menjadi parah setiap kali menjelangnya hari Khamis malam Jumaat. 

“Sukar dibayangkan keadaan ketika itu kerana seluruh badan menjadi lemah, berpeluh serta kadangkala perut akan membuncit seakan-akan hendak pecah. Saya terpaksa merangkak untuk berjalan.

“Sudah bermacam cara saya cuba untuk mengubati penyakit ini baik menggunakan perubatan tradisional mahupun moden, tetapi tiada sebarang perubahan,” ujar ibu kepada empat orang anak ini.
Menurut Nur, memikirkan anak-anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian seorang ibu, dia berusaha melawan penyakit itu dengan sedaya upayanya. 

Tambahnya, dia reda dengan ujian Tuhan. Setiap kali kesakitan itu menyerang, dia tidak dapat berbuat apa-apa selain berdoa supaya dipanjangkan umur.

Berubat
“Kebiasaannya, apabila sakit itu datang menyerang, muka saya akan kelihatan seolah-olah lebam.
“Pernah sekali pandangan mata saya menjadi gelap. Saya sangkakan saya sudah buta, tetapi berkat doa keadaan kembali pulih,” ujarnya.

Secara luaran, orang yang tidak mengenalinya akan melihat Nur sebagai seorang wanita periang, namun pahit yang terpaksa ditelan tidak terkira kerana dia dan suami terpaksa berbelanja hampir ratusan ribu ringgit semata-mata untuk berubat.

“Saat paling sedih ialah apabila setiap pengamal perubatan tradisional yang ditemui mengatakan saya disihir oleh orang yang cukup saya kenali. 

“Pada mulanya susah untuk saya percaya, namun saya pasrah dengan keadaan ini.

“Sehingga ke hari ini, saya masih berusaha untuk berubat tetapi kesemuanya menemui jalan buntu. Cakap sahaja pusat perubatan terkenal mana yang saya tidak pernah pergi, kesemuanya sudah saya lakukan tetapi masih tidak menunjukkan perubahan," jelasnya. 

Tuturnya, selagi hayat dikandung badan, dia akan berusaha melawan penyakit yang dideritainya.
Perjuangannya itu membawa dia ke banyak tempat termasuk sehingga ke Indonesia yang dikatakan mempunyai bomoh handalan.

“Bukan sahaja bomoh, doktor yang diiktiraf turut gagal menemui penawar untuk penyakit busung saya. 

“Pernah sekali saya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan apabila mendapati keadaan perut yang semakin membuncit.

“Hasil pemeriksaan, doktor mengatakan saya menghidap komplikasi kencing kotor dan ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut. 

“Namun, sebaliknya yang berlaku kemudian apabila saya disahkan tidak menghidap penyakit kencing kotor pula.

“Setelah itu, doktor menyarankan saya melakukan pemeriksaan imbasan seluruh badan, tetapi gagal juga menemui sebarang penyakit malah saya disahkan sihat,” katanya.

Tambahnya, doktor pernah menasihatinya supaya menjalani pembedahan tetapi dia menolak kerana baginya, apa gunanya pembedahan jika punca keadaannya itu tidak diketahui.

Sepanjang menemui pengamal perubatan tradisional, ada yang mengatakan dia terkena busung batu, busung air dan busung katak.

Nur memberitahu, dia pernah dibedah secara batin sebanyak dua kali ketika menjalani rawatan tradisional, tetapi penyakitnya tidak juga pulih.

“Sewaktu menjalani pembedahan batin, keadaan ketika itu amat menyeksakan. Orang selalu cakap pembedahan ini tidak sakit, tetapi Tuhan sahaja tahu kesakitan yang terpaksa saya tanggung.

“Selain itu, pelbagai peristiwa pelik berlaku ketika melakukan rawatan tradisional, antaranya insang ikan dan batu keluar daripada perut saya apabila dijampi dengan menggunakan potongan limau nipis.
“Sejadah yang digunakan untuk rawatan juga terbakar dengan sendirinya. Rambut serta darah keluar daripada belakang badan saya. 

Perubatan Islam
“Saya sendiri musykil dengan penyakit ini, tetapi satu sahaja harapan saya supaya penyakit ini elok,” beritahu beliau yang tinggal di Klang, Selangor.

Ujar Nur, keadaan perutnya sekarang sedikit menyusut berbanding ketika mula-mula dia terkena penyakit itu. 

Jika dahulu dia tidak boleh bergerak dan hanya terlantar selain perlu merangkak, tetapi kini dia sudah boleh memandu kereta.

“Saya tidak minta lebih cukuplah sekadar boleh bergerak dan melakukan kerja seharian,” tambahnya.

Menurut Pengasas Pusat Rawatan Islam Darul Ruqiyyah, Mohd. Suhaimi Rozali, busung boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu busung biasa dan busung keturunan.

Busung biasa ialah busung yang dikirim orang tertentu (sihir) manakala busung keturunan adalah disebabkan ia diwarisi turun-temurun.

“Busung mempunyai kaitan dengan saraf di dalam badan. Sekiranya busung dapat dikesan pada peringkat awal, perut pesakit boleh surut dengan kadar segera.“Tetapi jika busung itu sudah di peringkat kritikal, ia akan mengambil masa sedikit untuk surut, bergantung kepada keadaan seseorang pesakit. “Selalunya busung boleh terkena di bahagian anggota badan seperti tengkuk, perut, muka dan kaki.“Jika terkena di bahagian perut, pesakit akan mendapati perut mereka seakan-akan membesar sedikit demi sedikit dan mengeras seperti batu,” katanya kepada Jurnal.
Jelasnya, setakat ini, kira-kira 10 kes pesakit busung berjaya diselesaikan olehnya. Kesemua pesakit itu beransur pulih selepas menjalani terapi yang menggunakan bahan asas seperti air penawar, mandian dan minyak.

Perubatan Moden
Menurut Pakar Gastroenterologi dan Endosonologi Hospital Pakar DEMC Shah Alam, Dr. M. Jeeta, tidak semua penyakit busung disebabkan terkena buatan orang seperti yang menjadi kepercayaan masyarakat selama ini.
“Dalam bidang perubatan, terdapat enam kemungkinan yang menyebabkan perut seseorang itu kelihatan membesar iaitu najis, angin, bayi, kandungan cecair di dalam badan dan lemak yang terkumpul di bahagian perut atau usus dan ketumbuhan (tumor).
“Selalunya apabila berdepan dengan situasi begini, pesakit disaran menjalani ujian tertentu bagi menentukan tahap penyakit yang dialami mereka sama ada masih di peringkat awal mahupun kritikal,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama tujuh tahun dalam bidang itu.

Akta Sihir
Secara umum, kepercayaan bahawa busung disebabkan perbuatan sihir tidak boleh ditolak mentah-mentah. Ini kerana, percaya atau tidak lima daripada 10 orang Melayu didakwa terbabit menggunakan khidmat bomoh untuk melakukan sihir disebabkan mereka tidak berpuas hati pada seseorang individu sama ada dikenali atau tidak.

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan selepas mendapati terdapat peningkatan aduan kepada pihaknya daripada orang ramai mengenai perkara tersebut.

“Jika dahulu kurang daripada lima kes kita terima, tetapi sejak kebelakangan ini ia meningkat sekali ganda sehingga 10 kes aduan sebulan,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Dakwanya lagi, budaya tidak sihat itu kembali popular dalam kalangan orang Melayu dipercayai berkait rapat dengan pengaruh drama berunsur tahyul di kaca televisyen. “Tengok sahaja slot-slot drama di kaca televisyen sejak kebelakangan ini yang kerap memaparkan cerita berunsur sihir,” ujarnya. Katanya, budaya sihir ini bukan sahaja tidak sihat malah dilihat boleh meruntuhkan institusi sesebuah masyarakat jika tidak dibendung segera. Beliau memberi contoh membabitkan perniagaan apabila ramai peniaga yang mendakwa sering menjadi mangsa sihir sehingga terpaksa gulung tikar.
“Ada juga kes yang menyebabkan keruntuhan rumah tangga,” jelasnya. Katanya, sihir sudah terbukti wujud dan masyarakat sendiri sedar mengenai elemen tersebut sejak sekian lama tetapi sehingga kini belum ada satu medium berkesan yang boleh mengekangnya.Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu panel khas dibentuk bagi meneliti perkara tersebut seterusnya mewujudkan satu akta khusus untuk menanganinya. “Kita lihat ada keperluan bagi mewujudkan Akta Sihir sama seperti akta yang diguna pakai bagi menangani ajaran sesat,” katanya. Ujarnya, akta itu akan bertindak sebagai alat untuk melindungi pengguna yang disihir dan membawa pengamal sihir ke muka pengadilan.

Sumber : Kosmo Online 15/07/2012


No comments:

Post a Comment

Like & Share with us