Ramadhan akan bakal meninggalkan kita, namun masih ada orang belum memahami apakah hikmah di sebalik puasa. Terdapat hikmah di sebalik syariat Allah, khususnya puasa. Ada
rahsia, hikmah dan tujuan puasa itu yang diketahui akal manusia. Namun
ada juga yang tidak dapat dijangkau akal manusia. Berkenaan hikmah
puasa, terdapat tidak kurang 12 jenis hikmah iaitu:
1. Puasa menyempitkan aliran makanan dan darah. Aliran yang sama digunakan syaitan. Maka bisikan syaitan menjadi lemah.
2. Puasa melemahkan nafsu, hasrat jahat dan keinginan berbuat
maksiat. Ini membuatkan roh menjadi tidak ternoda dan kembali suci.
3. Puasa mengingatkan pelakunya perihal kewujudan saudara-saudaranya
yang kelaparan, memerlukan bantuan dan yang fakir serta miskin.
Kesedaran ini menyebabkan orang yang berpuasa mahu mengasihi, menyayangi
dan menolong mereka.
4. Puasa juga adalah pendidikan jiwa, penyucian hati, pengendalian pandangan dan menjaga anggota tubuh daripada dosa.
5. Puasa juga adalah rahsia antara hamba dengan Tuhannya. Hal ini
ditegaskan dalam hadis Qudsi. Allah berkata, "Setiap amal anak Adam
untuk dirinya kecuali puasa. Puasa untukKu dan Aku sendiri yang
membalasnya."
6. Puasa adalah alat penyatuan kaum muslimin. Mereka berpuasa pada
waktu yang sama dan berbuka puasa pada waktu yang sama. Mereka merasa
lapar bersama dengan penuh persaudaraan. Penyatuan membuatkan mereka
diliputi rasa cinta dan setiakawan.
7. Puasa adalah penghapus kesalahan dan kejahatan. Muslim merekodkan
Rasulullah berkata "Dari Jumaat ke Jumaat yang lain, daripada umrah
kepada umrah yang lain dan dari Ramadan ke Ramadan yang lain adalah
penghapus dosa. Ini selagi dosa itu tidak termasuk dosa besat."
8. Puasa menyihatkan badan kerana ia mengosongkan perut daripada
semua bahan yang merosakkan. Ia juga merehatkan pencernaan, membersihkan
darah, menormalkan fungsi ginjal, hati dan jantung.
9. Apabila orang itu berpuasa, dirinya terasa kerdil di hadapan
Allah, hatinya mudah tersentuh dan rasa tamak menipis. Nafsunya terkawal
sehingga dengan demikian doanya dikabulkan kerana dekat dengan Allah.
10. Dalam puasa terdapat rahsia agung iaitu ketaatan menyembah Allah. Muslim patuh atas segala perintahNya, tunduk kepada agamaNya, meninggalkan hasrat makan, minum dan bersetubuh hanya demi mencari keredhaan Allah.
11. Puasa adalah kemenangan muslim mengalahkan hawa nafsunya. Ia
kemenangan muslim ke atas dirinya dan ia bukti kesabaran. Orang yang
tidak berpuasa tanpa sebab yang dibenarkan, ia tidak mampu mengendalikan
dirinya dan tidak dapat mengalahkan hawa nafsunya.
12. Puasa adalah latihan luar biasa jiwa supaya ia berada dalam
keadaan bersedia 100 peratus. Jiwa yang tersedia ini mampu menanggung
beban hidup sehingga Ramadan juga digelar sekolah istimewa. Selain itu
dengan puasa, kita bersedia dan agung seperti jihad, mendermakan harta
di jalan Allah dan berkorban.
Sumber : Buku Keajaiban Ramadan (Jaffar Siddiq)
No comments:
Post a Comment